20 AprTakut kena cerai suami besar kepala


DCCK, Mingguan Malaysia 20 April 2008

KEPERITAN hidup yang dihadapi oleh Mazimah seperti yang tersiar dalam DCCK 30 Mac lalu berjudul Poligami manisnya 1 masalahnya 9 membuat Puan Aini terpanggil untuk memberikan pendapatnya di samping menasihati beliau bangkit memperbaiki hidupnya dan jangan takut bertindak.

Dalam e-melnya, Aini berkata, dia rasa sakit hati apabila membaca kisah hidup Mazimah. Mengapa ramai suami kalau dengan isteri, garangnya macam jembalang tanah tetapi bila dengan girlfriend, dia jadi lembik macam agar-agar.

”Pada pandangan saya ada baiknya Mazimah biarkan saja suaminya kahwin dengan gadis tersebut yang ternyata begitu ego sebab dapat rampas hak orang lain. Mudah-mudahan dia bertemu buku dengan ruas. Biar dia pula makan penampar. Saya percaya Mazimah bekerja, tinggalkan saja suami seperti itu biar dia jaga anak-anak, biar dia tahu susah senangnya.

”Sebenarnya kalau tak baca DCCK setiap minggu saya rasa hidup tak lengkap. Walaupun kadang-kadang saya rasa geram, darah naik mendadak ke kepala, tapi ada masanya menitiskan air mata bila bersua cerita yang mengusik jiwa. Syabas kepada penulis, kerana berjaya mencungkil banyak kisah yang boleh dijadikan teladan.

”Saya tak tahulah kenapa zaman serba canggih sekarang terdapat ramai orang makan orang, khasnya kaum lelaki. Agaknya kalau tak makan air mata anak isteri, mereka akan pendek umur. Kadang-kadang tu saya rasa tak percaya masih ada lelaki berperangai lebih teruk dari binatang. Kalau memukul isteri pun kita benci inikan pula memukul sampai mencederakan anak-anak seperti anak Mazimah. Saya rasa ayah macam ini patut direbus hidup-hidup.

”Saya rasa terkilan ada wanita yang sabar tak kena tempat. Memang kita mesti taat pada suami tapi saya tak dapat bayangkan apa perasaan dia bila melihat anak dipukul teruk. Mungkin dia ada alasan, tapi alangkah malangnya mendapat suami sejahil ini! Kenapa tidak sekali sekala buat seperti orang hilang akal belasah dia pula.

”Sebenarnya saya faham perasaan Mazimah, kerana saya pun bersuamikan lelaki panas baran. Mula-mula dulu saya diam juga sebab takut berdosa melawan suami, tapi bila dia cuba nak naik tangan, saya kata pada dia kalau saya rasa sakit dia pun akan sakit juga. Kita tengok siapa yang mati dulu. Kerana tak dapat pukul saya, dia baling dan pecahkan piring cawan, atau apa saja barang dalam rumah bila dia mengamuk.

”Bila suruh ganti benda yang dipecahkan dia tumbuk dinding. Saya tak kisah, rumah saya dinding batu, bukan papan. Tumbuklah sehari suntuk, saya peduli apa. Bila dah reda dia tunjukkan tangannya pada saya. Nak tau apa saya jawab? Saya kata KL ni hutan batu, why not bila marah you tumbuklah setiap bangunan depan you, untung-untung tangan patah, terseliuh, boleh claim insurans dan duitnya bagi saya.

”Sebagai isteri, sekali-sekala kita kena tunjuk taring. Kalau takut dosa sebab melawan suami, perpisahan adalah jalan terbaik. Sayangi diri sendiri dan anak-anak sebelum sayang orang yang tak takut pada balasan Allah. Orang jenis ini akan sedar bila badan tak boleh bergerak dan mata terbuntang atas katil,” nasihat Aini.

Minggu ini dipaparkan pandangan Rosariena dalam e-melnya tentang pengalaman hidupnya semasa kecil hingga remaja terseksa berayah tiri. Inilah nasib kaum wanita, kalau dipoligami hidup terseksa, diceraikan pun menderita, sebaiknya selepas bercerai tak usahlah kahwin lagi, sebab yang terseksa bukan setakat diri sendiri tetapi anak-anak yang berayah tiri.

”Saya bercakap dari pengalaman sendiri dan hati saya tersentuh untuk paparkan pengalaman pahit setelah membaca kisah Mazimah yang begitu berkesan di hati. Tetapi kisah saya lebih derita kerana saya tiga beradik tinggal dengan ayah tiri yang garang. Perbuatannya memukul kami hingga kini masih terpahat di kepala kami.

”Emak berkahwin dengan ayah pada usia 21 tahun. Empat tahun berkahwin, lahirlah kakak, saya dan seorang adik lelaki. Pada usia adik lapan bulan, emak dan ayah bercerai disebabkan tidak tahan dengan perangai ayah yang ‘kaki perempuan’ dan suka mencuri barang kemas emak untuk dihadiahkan kepada teman-teman wanitanya.

”Segala perbelanjaan hidup dalam rumah tangga menjadi tanggungan emak. Nasib baik juga emak bergaji tetap sebagai seorang anggota pasukan beruniform. Walaupun susah, kami masih boleh makan dan dapat pakai, gaji ayah cuma untuk dirinya sendiri dan aktiviti luar yang kaum wanita semua tahu kalau suami dah jadi kaki perempuan.

”Selepas emak diceraikan, emak kahwin lagi dengan anggota sepasukannya. Pada usia 7 tahun, saya terpaksa memahami keadaan, saya ada ayah baru yang pada hemat saya ketika itu, dia tidak mahu terima kami sebagai anak tirinya.

”Kalau tidak, masakan kami dikatakan jadi bebannya. Sedangkan dia sebenarnya jadi beban kepada emak. Emak bukan setakat tanggung perbelanjaan rumah tangga sama seperti keadaan ayah kami dulu, tetapi juga rokoknya. Semua emak mesti sediakan.

”Dalam usia sebegitu muda, kami tiga-beradik sentiasa jadi mangsa sepak terajang dek panas barannya. Pernah satu ketika kerana marahkan emak, kerana tidak mendapat apa yang dimahunya, dia sepak pinggan nasi ketika kami makan tengah hari.

”Tiap kali dia mengamuk kami tiga beradik ketakutan, pasti emak jadi mangsa tangannya, dan kalau kami bising atau menangis, kami turut jadi mangsa sepak terajangnya. Kerana ketakutan dan hidup tidak selesa kami bertiga pernah terfikir lari dari rumah. Tetapi kerana tidak tahu ke mana arah hendak dituju, kami batalkan niat.

”Keganasan yang paling ketara pernah dilakukannya apabila dia pukul adik lelaki saya sehingga patah tangan. Ketika itu kami sudah dapat merasakan kami tidak selamat lagi di rumah itu. Bila-bila masa saja saya boleh jadi mangsa. Sampai satu tahap, bila begitu takut sebab dia mengamuk, saya pernah berdoa supaya Allah segera cabut nyawanya supaya kami tidak didera lagi.

”Penderaan mental dan fizikal berterusan dan hanya berakhir apabila saya menjejakkan kaki ke universiti. Syukur kehadrat Allah yang mengurniakan saya adik-beradik otak yang pintar. Semasa kami di universiti, kami jarang pulang rumah. Malas. Menyakitkan hati, menyampah, benci.

”Cuba pembaca bayangkan, perasaan benci kami kepada ayah tiri menjadi-jadi sebab dah besar panjang, masih kena pukul. Emak tak boleh bersuara. Kerana takut dan sayangkan suami agaknya.

”Emak pernah buat laporan polis bila tangan adik patah, tetapi tarik balik sebab takut ayah tiri kena buang kerja. Kerana tak tahan kena pukul, kami mengadu pada guru sekolah dan guru kaunseling. Akhirnya kami dapat sekolah berasrama, dapatlah belajar dengan tenang. Tapi masalahnya bila cuti kena balik rumah. Kena pukul juga setiap kali dia mengamuk.

”Adik pula kerana sering ke rumah kawan baiknya, akhirnya, ayah kawannya ambil dia jadi anak angkat dengan tujuan adik boleh tinggal di rumah mereka, dan dia boleh bantu perbelanjaan sekolah adik. Emak tak larang kerana takut adik kena pukul teruk.

”Saya tidak salahkan emak. Malah saya amat berterima kasih sebab bersusah payah bekerja kerana kami. Selain bekerja makan gaji, emak juga berniaga secara kecil-kecilan untuk menyediakan keperluan kami.

”Mana ayah kandung kami? Tak usah ditanya. Sudah lama saya buang ayah dalam fikiran dan hati. Seperti mana dia buang kami tiga beradik sebaik sahaja dia ceraikan ibu. Selepas bercerai dia tidak ambil tahu makan minum, pelajaran dan hidup kami.

”Saya sayangkan emak. Cuma saya terkilan kerana emak semacam tidak faham penderitaan kami. Saya tahu emak pun menderita. Tetapi semua penderitaan dipendam dan disimpan dalam hatinya. Alasannya dia takut kena cerai lagi, dan emak takut orang mengumpat dan mengata kerana perkahwinan keduanya pun gagal.

”Paling mengecewakan bila saya tanya emak, kenapa selepas bercerai dulu emak kahwin lagi. Jawapan emak supaya kami ada ayah dan merasa kasih sayang ayah. Kami beritahu emak, kami tak perlukan ayah, kami mahu emak saja.

”Perlukah kami ayah kalau untuk menyakitkan badan dan perasaan? Menyakitkan emosi dan fizikal kami. Kami lagi suka kalau tidak ada ayah. Saat-saat paling bahagia dalam hidup kami ketika kecil dahulu apabila ayah tiri tidak ada di rumah. Senang cerita, kalau dia tidak wujud dalam hidup kami. Itulah perasaan kami tiga beradik.

”Hukumlah kami andai kami derhaka kerana tidak sukakan ayah tiri, tetapi itulah perasaan kami. Tiada siapa tahu. Tetapi siapa yang menyebabkan kami begini?

”Kadang-kala saya terfikir, kenapa ayah tiri kami bersikap melampau? Sebabnya emak tidak tegas. Kalau tegas, saya rasa ayah tak berani pijak kepala emak. Buktinya, kini dia tidak berani tengking kami. Sebabnya mudah. Kami tidak ‘beri muka’ kepadanya terutama setelah kami bekerja.

”Bukan nak menunjuk-nunjuk atau besar kepala apabila sudah berjawatan, tetapi cukuplah bertahun-tahun kami diherdik, dicaci dan dimaki. Sekarang emak hanya akan diherdik apabila kami tiada di rumah. Saya tidak faham kenapa emak biarkan dirinya terus menderita, sanggup diperlakukan seperti ‘sampah’. Takut kami hilang ayah?

”Kami lagi suka kalau dia tidak ada, kami harap emak sedar. Emak tak sepatutnya takut tidak cukup duit belanja. Saya rasa emak akan lebih mewah kalau suaminya tiada. Sekarang pun emak yang bayar segala hutang piutangnya. Kerana sayangkan suami, perlukah sayang orang yang tidak pernah menghargai kita? Bahagiakah emak selama lebih 20 tahun menyayangi suami dan mengabdikan diri kepadanya?

”Ikhlas, saya tidak pernah nampak riak-riak bahagia pada wajah emak. Saya rasa, kalau emak berani melaporkan kes penderaan kami kepada pihak berkuasa, ayah pasti tidak berani mendera kami dan kami pasti tidak akan terseksa jiwa dan raga. Dan yang pastinya tahap kebencian kami terhadap ayah tiri tidak separah ini.

”Sayang sekali, emak yang tidak mahu membebaskan dirinya dari beban ini. Kerana faktor ini jugalah suaminya sentiasa memperbodoh dan menghambakan emak. Saya percaya setiap manusia mempunyai maruah dan harga diri yang sangat perlu dipertahankan. Jangan sampai maruah kita diinjak-injak sesuka hati hatta oleh suami.

”Bukan maksud untuk menderhaka. Tetapi setiap perkara perlulah berbatas. Allah beri kita akal untuk berfikir buruk dan baik. Dan Islam menghalalkan perceraian andai kita terseksa dengan perkahwinan itu. Jadi jangan takutkan perceraian hanya kerana takut dipandang serong oleh masyarakat.

”Perlukah lagi dipertahankan perkahwinan yang menyeksakan diri dan anak-anak? Kenapa kita sentiasa jadi mangsa? Sebab kita yang memilih dan merelakan diri kita dijadikan mangsa! Tepuk dada tanya iman,” demikian cerita Rosariena yang sedih dengan nasib ibunya dan mengapa dia terlalu bencikan ayah tiri yang kejam.

Seperti kata Rosariena, setiap orang boleh membentuk diri dan masa depannya. Kalau mahu, jangan salahkan orang, sebaliknya carilah kelemahan diri dan cuba baiki. Kini ayah tirinya masih membebankan emaknya, dengan perangai menjengkelkan. Sikap ini membuatkan anak menjauhi ibunya.

Kalau sudah sampai ke peringkat ini salahkah anak jika jarang pulang kampung menjenguk emaknya? Malah lebih senang ke rumah mertua. Sebagai emak kita patut juga fikirkan nasib anak-anak kerana bukan semua anak perlukan ayah tiri yang menjadi kebenciannya. Oleh itu jika ada ibu beri alasan enggan bercerai kerana takut anak-anak tidak berayah, atau kahwin lagi supaya anak ada ayah, sebenarnya si ibu takut jadi ibu tunggal. Sebenarnya anak-anak zaman ini lebih memahami masalah ibu bapa mereka.

- MAIMUNAH

www.dcckmona.com
dcckmonaum@hotmail.com

Popularity: 24% [?]

Processing your request, Please wait....

21 Responses to “Takut kena cerai suami besar kepala”

  1. mat_e says:

    Ingat” Dalam perut Ibumu Dicampakan Rahmat manakala mengalir dua mata susu didadanya, Ibu setianya pada suami- Anak pada Ibu kalau you(maimunah) Buktikan pada Ayah tiri dengan mencurahkan segala kebahagian pada Ibu. Agaknya lupa nak eja nama

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  2. ajinomoto says:

    Kalau aku dah lama aku ucap gud bye…tak dak laki pun tak pa

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  3. noi baharin says:

    as childrn we’ve to respect mothe forever.forwhtever reason pn dia stay as a wife.. dia xdpt lwn takdir..klu di tanya she surely cry..she doesn know what to choose.forgive her send her ur love.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  4. KerabatBongsu says:

    payah nak terus kan idop dengan suami mcm ni, tgu jelah giliran girlfriend tu, x kemana pon, kalau sekali dah akad gitu sikap nya.. x kemana laa jawab nya.. yakin dan percayalah.. husb/seorang lelaki kalau waras + beriman + berilmu dia x kan layan wife die mcm gini, sekali pun nak kawen 2 3 4 5 6 7 8 9 10 dia pasti tau cara nya.. pasti tau bagaimana menghormati wanita/isteri, pasti tau bagaimana cara melayan insan yg lemah.. tahniah lerr pd suami yg melayan isteri dgn baik.. semoga apa saja kesilapan yg tidak mahupun belum diketahui oleh isteri anda, akan dimaafkan oleh isteri anda jika pecah temelang nya satu hari nanti..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  5. brobosan says:

    Memang…semuanya nampak lelaki yang salah… Sila beri pandangan akan kisah hidup aku sendiri.

    Walaupun aku jahil dalam ilmu akhirat. Aku tak pernah melakukan zina sebelum dan selepas berkahwin. Puasaku sentiasa cukup sejak aku belajar berpuasa sehingga sekarang. Bukan kaki nombor ekor dan pengunjung setia kedai arak atau karaoke. Nauzubillah…

    Isteriku adalah orang pertama yang aku gauli sehingga bulan january tahun 2008. Sampai hari ini aku tak mengauli isteriku yang beralasan tak ada mood. Dia minta cerai langsung berpisah katil. Kamar aku adalah kamar anak lelakiku…

    Aku terima dia seadanya. Perkahwinan yang telah berusia 14 tahun mula retak atas alasan yang paling tak logik. Hanya kerana semua yang aku usahakan dalam hidup tak menjadi kenyataan isteri minta cerai kerana dia kononnya membawa sial dalam hidupku.

    Aku istighfar… semua ini adalah ketentuan tuhan. Setelah tenang aku tanya akan logik yang sebetulnya. Barulah terungkai… dia tak tahan dengan sikap panas baran dan pemarah aku…. Sikap panas baran yang tak pernah aku lakukan depan sesiapapun walaupun depan anak-anak. Aku jaga keharmonian depan keluarganya sendiri rakan pejabat dan sesiapa sahaja. Hormat terhadap mertua tak pernah aku abaikan. Dia memendam rasa pada tahun 2007 dimana aku paling tertekan.

    Perniagaan aku hangus dijilat api…ayahku kembali kerahmatullah setelah hampir sebulan bergelut di ICU dan selama itulah aku disisi ayahku. Ayahanda mertuaku juga kembali kerahmatullah pada tahun yang sama 4 bulan lebih awal dari ayahandaku.

    Lelaki mana yang tak tertekan… tambahan diusia aku ini…segala-gala yang aku ada telah hancur berkecai… sehinggalah perkahwinan aku sendiri diambang kehancuran… Aku pasrah, aku hilang segala-galanya…

    Apa yang tak kulakukan untuk isteriku. Disaat dia sendiri berhenti dari kerja tanpa mengambil peduli nasihatku…aku bingung kerana pada masa yang sama perniagaan yang kuusahakan tak menjadi. Dia mula ingin berniaga…minta izin untuk refinance rumah yang aku beli dan berbaki sedikit sahaja lagi dengan bank… aku izinkan… tetapi perniagaannya tak menjadi. Buat perniagaan baru… aku buat loan dengan syarikat aku sendiri atas persetujuan semua pemegang saham dan director… aku korbankan dividen syarikat yang aku patut perolehi selama beberapa tahun…dan perniagaan kali ini juga tak menjadi… aku masih bersabar … ya aku memang pemarah… sebab aku lelaki yang straight forward… apa yang tak betul aku cakap tak betul walaupun sebelah pihak tak sanggup mendengar perkataan yang akan aku keluarkan dari mulut…tapi aku tak pernah simpan dalam hati…

    Sebagai suami dan bapa aku perlu tegas… Kalau dirumah aku sendiri aku tak boleh nak marah anak-anak dan isteri…siapa lagi yang aku nak marah…walaupun begitu… aku masih hormatkan amanat yang ayahanda dan ayahanda mertua aku tinggalkan… rumput kat padang pun boleh mati kalau dipijak hari-hari… Justeru itu walaupun aku marah tak pernah sekalipun aku jentik isteriku…

    Rumusan dan andaian ku adalah…

    Kerana aku hilang punca pendapatan tetap dalam kegawatan ekonomi ini…isteriku meminta cerai kerana dia independent sekarang. Setelah perniagaannya tak menjadi aku dapatkan kerja disebuah syarikat antarabangsa dengan bantuan seorang sahabat…Alhamdulillah kedudukannya sekarang menjaminkan….

    Soalan…

    1.Kenapa tergamak dia meminta cerai sedangkan dia tahu aku dah tak punya apa-apa selain dari anak-anak yang sangat aku sayangi?

    2.Kenapa dia sanggup meminggirkan aku, minta cerai dimana dia tahu aku tak akan dapat melihat keletah anak-anak membesar dalam suka dan duka?

    3.Kenapa dia sanggup meminggirkan aku walaupun aku sujud dikakinya lalu menitiskan air mata untuk dia menerima aku kembali seadanya, dimana sewaktu ayahandaku kembali kerahmatullah aku sedikit pun tak menitiskan airmata?

    4. Kenapa aku sanggup meletakkan ego aku sebagai lelaki ketepi tetapi sebagai isteri dia tidak?

    5. Kalau aku sanggup terima segala kelemahannya….kenapa dia tak sanggup terima segala kelemahan aku sekarang?

    Hingga sekarang aku masih begini. Hanya kawan-kawan menjadi penghibur. Aku masih balik kerumah dengan membawa pendapatan yang tak seberapa tetapi cukup untuk keperluan dapur serta susu anak bongsuku…. cuma aku terpaksa pulang agak lewat malam…. untuk aku mencari ketenangan dinihari…

    Hari jadiku tidak diucapkan walaupun hari jadinya aku beri hadiah dan ucapan maaf atas segal silap yang aku lakukan..

    Tanganku tak pernah lagi dicium sewaktu isteriku hendak kepejabat… Runtun hati seorang suami in hanya allah yang tahu…suami yang tak dihargai lagi walaupun suami ini yang sanggup mengenepikan ego dan maruah demi sebuah perkahwinan dan keluarga yang disayangi. Aku masih bertahan kerana anak-anak…aku korbankan segala kehendak lahir dan batin aku….Salahkah aku…. Moga Allah tentukan nasib hambamu in yang redha akan segala ketentuanmu….

    Bagi pembaca yang membaca keluhan aku ini.. berilah pandangan yang membina. Sebagai manusia …aku juga ada limit. Hati aku juga akan tawar. Berlah pandangan agar aku dapat melalui kehidupan ini sebagai seorang suami dan ayah atau pun hanya sebagai seorang ayah…

    Wasallam…

    p/s
    Sebelum ini segala keperluan rumah, anak sekolah dan berbagai lagi aku mampu adakan… Hanya tahun ini sahaja yang agak berkurangan… tetapi masih lagi aku mampu adakan.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  6. DS says:

    brother bosan,

    nikmat..
    bila kita mdapat nikmat yg Allah berikan.. Allah berkehendakkan kita sentiasa bsyukur kpdNya.

    dugaan..
    bila kita mdapat dugaan atau kesusahan atau cubaan atau yg seumpamanya.. yg mcm brobosan hadapi sekarang ini.. Allah berkehendakkan kita bersabar..

    taat..
    jika brobosan selalu taat kepada Allah.. seperti mana brobosan nyatakan..

    “Walaupun aku jahil dalam ilmu akhirat. Aku tak pernah melakukan zina sebelum dan selepas berkahwin. Puasaku sentiasa cukup sejak aku belajar berpuasa sehingga sekarang. Bukan kaki nombor ekor dan pengunjung setia kedai arak atau karaoke”

    Allah berkehendakkan brobosan melihat nikmat2 itu dan jgn sampai dilupakan..

    maksiat..
    jika kita durhaka kepada Allah.. maka Tuhan berkehendakkan kita bertaubat dan meminta ampun kepadaNya..

    marilah kita menjadi manusia yg sentiasa menerima setiap sesuatu yang berlaku dgn lapang dada.. dan terus berusaha.. utk yakin kpd diri kita.. yakin kpdNya..

    setiap yg berlaku.. mmg tidak terlepas drp pandanganNya..

    hanya kita.. sebagai manusia.. yg sentiasa mudah lupa dan lalai.. utk sentiasa bergantung harap kpdNya.. dan tidak kepada manusia2 lain.. hatta diri kita sendiri.. yg dgn izin dan kuasaNya.. menjadi diri kita berupaya..

    marilah kita.. utk tidak hati kita ini.. berbolak balik.. hanya kerana dugaan2 mendatangi kita.. teruskan.. tetapkan hati kita.. berpegang teguh kpdNya..

    sejahterakan diri brobosan.. dan terus tekun memimpin isteri.. above all.. berpegang hati lah kpdNya.. Tuhan yg Maha Esa.. yg Maha Mengetahui..

    wallahualam b shawab..

    semoga brobosan.. beroleh limpah kurnia serta taufik dan hidayahNya..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  7. apiwat piriyilpolpong says:

    semoga bro sabar.. erkk.. hmmm.. mcm mana ye.. mcm mana nak handle bila bini dah pijak kepala..

    cuba check.. kekadang isteri naik kepala sbb sudah jumpa kekasih baru.. yg dipuja2, yg perfect, yg romantik etc.. belum kawin tak tau lagi, dah kawin baru tau perangai sebenar “kekasih” tu.. lelaki tak adab yg kacau isteri org bukanlah calon suami yg baik..

    eh mcm sure jer.. tapi saya rasa memang mcm tu.. bro cubalah dulu minta kawan2 dari luar company tu checkkan.. kalau tiada alhamdullillah, itu kena guna cara lainlah..

    cara lain tu, saya maksudkan ikut nasihat DS la hehehe..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  8. apiwat piriyilpolpong says:

    wassalamulaikum wr…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  9. apiwat piriyilpolpong says:

    bro, ada kisah lelaki salah, ada kisah perempuan yg salah..

    ahli neraka ada lelaki perempuan.. ahli syurga pun ada lelaki perempuan..

    cuma kat DCCK ni, siapa yg selalu cerita..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  10. apiwat piriyilpolpong says:

    baca kisah kat sini bukan utk menyalahkan jantina, tetapi utk kita ambil iktibar dari perbuatan lelaki/perempuan yg patut dijauhi.. nauzubillah.. ingatan utk diri sendiri juga..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  11. invoice says:

    agaknya ko selalu maki bini ko babis la kamben la dan kata2 yg kureng enak didengar.. ko sendiri ckp rumput kalu dipijak ari2 mati… bih tu dok kena maki ari2 tak sakit ati ker?..tak simpan dlm ati ker? dah la bisness gagal pehtu dok maki maki bini plak..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  12. invoice says:

    3.Kenapa dia sanggup meminggirkan aku walaupun aku sujud dikakinya lalu menitiskan air mata untuk dia menerima aku kembali seadanya, dimana sewaktu ayahandaku kembali kerahmatullah aku sedikit pun tak menitiskan airmata?

    Bro! manusia panas baran mcm ko leh ker sujud kat kaki bini? citer hindustan pun tak mcmni tau..

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  13. invoice says:

    Barulah terungkai… dia tak tahan dengan sikap panas baran dan pemarah aku…. Sikap panas baran yang tak pernah aku lakukan depan sesiapapun walaupun depan anak-anak
    ———–
    bro kalu mcm tu ko panas baran kat ner? dlm bilik tido? atau masa anak2 ko semua dah tido? hahahahah dah tentu anak2 ko semua dok sekali takan ko panas baran ngan suara yg slow? hahahahha

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  14. invoice says:

    “Walaupun aku jahil dalam ilmu akhirat. Aku tak pernah melakukan zina sebelum dan selepas berkahwin. Puasaku sentiasa cukup sejak aku belajar berpuasa sehingga sekarang. Bukan kaki nombor ekor dan pengunjung setia kedai arak atau karaoke”

    ——–

    bro, itu tanggungjawap ko sebagai seorng islam, kalau ko berjaya maknanya ko islam yg baik tp tak bermakna ko suami yg baik!

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  15. akk eiza says:

    aik…sjk bila ada blog kisah ni..

    nape somi bila wat salah is3 kena admit, pastu kena lyn somi baeeeek, kena ckp baeeeeek2, kena tunjuk tingkah laku baeeeeek, kena urut baeeeeeek, kena belai somi baeeeeeek

    sdgkn somi yg tk tahu memimpin diri sndri kearah yg baeeeeeek….

    tp mmg salute la kt is3 yg boleh lyn somi baeeeek, setelah dgn mudahnya sisomi menghampehkn diri dlm masa yg sisomi dgn sukarelanya menzalimi diri sndri & menderhakai nawaitu ijab kabul atas nama Allah…dgn jodoh yg diizin oleh Allah….

    heheheh….adakah hujah2 saya kuar tajuk???

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  16. apiwat piriyilpolpong says:

    wah, bro pun ke audit satu2 hehehe..

    bagus juga sekali2 buat audit ye tak?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  17. roze says:

    mungkin agak terlambt nak beri komen,brobosan lebih kurang mcm suami saya,berniaga…tapi,pendptn hanya cukup untk belanja dapur dan duit saku anak2.cuma bezanya kami takde anak kecil,tak perlu beli susu,pun kdg2 duit belanja dapurpun kurg,saya perlu tampung utk memenuhi keperluan dapur,rumah saya yg byr,kereta saya yg byr,bil api air insuran diri,suami,anak2 semua saya yg byr,ikhlaske saya,?entahlah,wlaupun kdg2 berckp juga dgn suami,tak puas hati,tapi,,, suami saya kata,sabarlah,,belum ada rezeki lagi….so…sabarlah….apa nak buat…..sambiltu berdoalah moga Allah murahkn rezeki.so.brobosan,mungkin itu perasaan isteri saudara,rasa terbeban…jadi sabarlah….kdg2 ada terniat nak berpisah….tapi…apa guna,demi anak2 perthnkanlah,,,lagipun kemana dia nak pergi…..rumah saya punya,kereta saya punya…fikir2 takpelah….dpt pahala bantu suami….lagipun kat dunia bukan tempt yg kekal,diakhirat dunia yg kekal.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  18. norwati says:

    kepada brobosan,
    saya amat bersimpati dengan nasib u, inilah wanita di akhir zaman, maafkanlah dia (dia telah terlupakan siapakah dia sebenarnya, dimanakah kedudukan beliau sebagai seorang wanita di dalam islam). namun bro harus ingat.. inilah tugas seorang lelaki, tugas seorang suami untuk mendidik isterinya yang tersayang, isterinya yang tercinta. menyedarkan kedudukannya di dalm rumah tangga. wanita seerti ini harus disedarkan tentang kedudukannya.

    sebenarnya perkara ini telah saya ulas (dengan ilmu saya yang sedikit di dalm blog saya) antaranya, brio harus sedarkan dia bahwa, beliau wajib bersyukur menjadi isteri u, dilahirkan didalam agama islam yang indah, dan dia wajib bersyukur kerana Islam telah menaikkan darjatnya sebagi wanita yang patut dihormati dan di sayangi, ingatkah dia bagaimana wanita di zaman jahiliah sebelum kedatangan Islam (nasib mereka tidak sebaik nasib dia hari ini). Ingatkan dia bagaimana rasulullah pernah berkata: seandainya Allah mengizinkan manusia menyembah manusia, pasti akan ku suruh isteri2 menyembah suaminya”, lihatlah begitu tinggi darjat seorang lelaki.

    namun, itulah tugas lelaki hari ini, mengembalikan darjat2 mereka yang sepatutnya, mendidik wanita-wanita yang jahil ini dengan baik.

    Namun lelaki2 dan wanita2 Islam hari ini malas menggunakan akal fikiran, malas membaca perkara2 yang berkaitan gan keidupan seharian mereka, mendalami akidah (keyakina tentang ketuhanan, tentang agama, tidak mengakaji tentang kehidupan rasulullah, tidak mengakaji alquran dan tidak pandai nak relate dengan kehidupan seharian) selalu fikir soal ugama ini soal orang tua2, soal untuk ustaz2, soal solat, soal puasa, zakat haji, quran hanya untuk baca gitu2 aje (setakat nak tegak solat).

    tetapi bila dah terkena batang hidung… kita dah kelam kabut?

    kepada bro, tingkatkan pengetahuan.banyakkan membaca.
    Gunakan akal fikiran yang dianugerahkan oleh Allah. tak tahu belajarlah, bertanyalah.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  19. NOR says:

    Saya ingin memberi cadangan kepada para isteri yang teraniaya dan terseksa jiwa dan raga oleh para suami yang yang panas baran dan ego itu. Saya merasa amat bersimpati dengan isteri-isteri yang teraniaya ini. Kdg2 saya rasa perkahwinan ini adalah pintu kepada kesengsaraan, bukan kebahagiaan. Lebih baik tak payah kawin kalau untuk menderita!

    1. Anda perlu melaporkan saja perbuatan buruk suami anda ke pejabat agama. Anda berdua akan dipanggil untuk sesi kaunseling. Tak guna bergaduh hari2 masalah tak akan selesai sampai ke mati, hari2 makan hati.
    2. Usah mudah memberi wang kepada suami, ingatlah tanggungjawap suami adalah membayar rumah, makan minum anak isteri, pakaian anak-isteri dan pendidikan anak-anak.

    3. Isteri dan suami perlu ada kasih sayang, bkn setakat cukup makan dan pakai.

    4. Kdg2 bila suami dah teruk sangat, ugut je mintak cerai, dia org takkan berani nak ceraikan terutama bila anda manjadi bank pada suami.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  20. mas says:

    kekadang tu mula2 kawin dah buat hal.
    isteri pendam je bila suami dok maki. so bila dia dapat lepaskan jadi macam
    tu je. perbincangan tak ada. kalau aku
    laki buat muka masam je aku tanya. kalau dia buat dek je aku tanya lagi.
    kali ketiga aku pulak yg buat muka masam. ingat kawin ni apa? tempat nak
    lepaskan masalah. tak boleh cerita masalah baik2? tu je la rahsia kebahagiaanku walaupun aku tak ada anak n tak kerja. yang penting jangan lupa Allah

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  21. malinja says:

    kata-kata maki ni, walau tak ada kesan fizikal tapi makan dalam, bagi yang suka maki, memang dia tak kisah sebab dia dah lupa apa yg dikata, tapi bagi yg dimaki, ia akan simpan di dalam hati, lama-lama akan meletup akhirnya, bagi yg tahan , ada yg smpi stress hingga membawa kepada pykit mental, saya menulis berdasarkan apa yg saya alami sndiri. saya juga srg dimarah dan dimaki oleh insan bergelar suami, dalam semiggu saya tak pernah kosong dari kata-kata makian yang amat pedih bagi saya yg sblum ini diasuh dan dididik oleh orang tua saya dgn sifat sopan santun dan budi bahasa yang tinggi, tapi skrag saya sntiasa berdepan dgn kata-kata yang kasar , bagi saya lah. tapi mungkin pada pelakunya tak bermakna apa2 sebab tu dia kata dia tak simpan. Akibat dari tekanan dr makian yg sy terima, saya mengalami penyakit stress, alhamdulillah ada rawatannya diklinik kerajaan.klimaks dari stress itu saya seolah dirasuk, berada dalam ketakutan, saya rasa seolah nak bunuh diri jika ditengking, keadaan itu berlarutan hampir dua bulan. Dari situ baru lah suami saya agak berhati-hati dgn sikapnya. Jadi kepada brobosan dan siapa yg panas baran tu, jgn lah hanya myalahkan org lain atas apa yg terjadi.siapa sgup dimaki? tak de kan,

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

RSS feed for comments on this post.