16 MarPoligami banyak menganiaya anak-anak


DCCK Mingguan Malaysia, 16 Mac 2008

MINGGU ini dipaparkan pandangan daripada seorang wanita yang tinggal di luar negara. Dia meminati ruangan ini sejak berusia belasan tahun. Walaupun kini telah berumah tangga dan beranak-pinak serta tinggal jauh di luar negara, dia tetap mengikuti ruangan ini melalui Internet tetapi setiap kali membaca kisah yang memaparkan tentang kehidupan wanita yang dianiaya suami, beliau mula susah hati.

‘‘Saya mempunyai dua orang anak, kami suami isteri adalah orang profesional dan telah menetap di negara Barat ini sejak lebih 12 tahun lalu. Saya amat tertarik dengan kisah yang dipaparkan beberapa minggu lalu mengenai poligami, terutama dengan tulisan seorang gadis bernama Farra Emelia.

‘‘Pada pandangan saya kebanyakan orang Melayu Islam khususnya di Malaysia tidak memahami konsep poligami dalam Islam sebenarnya selain daripada apa yang diuar-uarkan oleh ustaz-ustaz dalam ceramah agama mereka khususnya mengenai isu ini.

‘‘Berada di luar negara dan bekerja dikelilingi oleh kesemua orang beragama Kristian atau ateis, saya sering ditanya mengenai Islam, terutama mereka yang faham bahawa Islam hanyalah agama yang menindas kaum wanita, menegakkan keganasan (terrorist) kejam dan sebagainya, melalui media yang mereka baca dan TV yang mereka tonton dan dengar.

‘‘Memang saya bukanlah alim tetapi bila ditanya tentang agama Islam yang kita cintai dan tanggapan negatif mereka menyebabkan saya membaca banyak buku untuk dijadikan rujukan.

‘‘Mereka tidak mahu mendengar hujah kita tanpa sebarang benda yang boleh dijadikan rujukan. Jadi saya terpaksa membaca untuk mendapatkan rujukan dari cendekiawan Islam terkenal seluruh dunia, melalui majalah, tafsiran dan sebagainya.

‘‘Di sini tak cukup kalau kita kata, Islam membenarkan lelaki berpoligami tanpa diikuti hujah-hujah cerdik pandai Islam untuk meyakinkan mereka dan mempertahankan agama Islam yang saya anuti. Masalah ini menjadi mudah sedikit kerana saya juga penyelidik (mempunyai ijazah doktor falsafah) untuk mencari maklumat membuat rujukan mengenai satu-satu isu yang mereka tanya. Dan saya akan terangkan kepada mereka sehinggalah mereka puas hati.

‘‘Dalam zaman serba canggih, ilmu di hujung jari, Internet banyak membantu saya mencari ilmu pengetahuan yang berguna. Nak cuba, taipkan polygamy in Islam atau wife obedience in Islam di mesin pencari Google tentu anda akan dapat jawapannya.

‘‘Di sini juga terdapat banyak pandangan cendekiawan Islam dari merata dunia. Saya akui jarang dan tidak berminat menghadiri ceramah agama semasa di Malaysia. Bagi saya tafsiran ustaz atau penceramah agama kita amat berat sebelah.

‘‘Kebanyakan mereka tidak seiring dengan pandangan para cendekiawan dan cerdik pandai, ulama Islam di seluruh dunia kerana mereka bergantung kepada pemahaman mereka dan apa yang telah diterima oleh budaya kita.

‘‘Pada pendapat saya, masyarakat kita terlalu casual mengenai poligami. Kenapa perbincangan masyarakat kita selalu diarah kepada isu poligami, isu isteri dengan poligami tetapi tidak kepada cara-cara suami mengukuhkan rumah tangga yang ada?

‘‘Pelbagai masalah sosial dan rumah tangga yang kita alami sekarang adalah kerana lelaki dan para suami tidak memperlengkapkan diri dengan ilmu agama yang wajib – tidak ada rasa tanggungjawab untuk “mengekal dan mengukuhkan” keluarga, tidak bangga untuk memastikan kejayaan sendiri seiringan kejayaan keluarga.

‘‘Bila umur mencecah 40-an ataupun umur perkahwinan masuk tujuh tahun ke atas, konsentrasi suami lebih untuk diri sendiri, selalunya bagaimana untuk menyalurkan hawa nafsu yang tidak dapat dikekang bila melihat anak dara atau perempuan muda melintas di depan mata?

‘‘Adakah dengan membenar dan menggalakkan suami berkahwin lebih dari satu kerana tidak dapat mengekang hawa nafsu, menjadi penyelesaiannya? Kenapa tidak memikirkan menambah ilmu agama di dada, supaya Allah mengukuhkan iman, menjaga mata dan hawa nafsu, supaya tidak tergoda dengan cubaan dunia? Adakah kerana kaum lelaki tidak dapat menahan hawa nafsu, maka keluarga dan anak-anak berpecah belah?

‘‘Islam adalah agama yang menggalakkan monogami dan bukan menggalakkan poligami. Poligami dibenarkan tetapi tidak digalakkan. Sebab utama adalah kerana pada zaman Rasullulah s.a.w. terdapat ramai balu tentera Islam dan juga ramai anak yatim yang kehilangan suami tempat bergantung disebabkan perang, bukan kerana suami tidak dapat menahan hawa nafsu.

‘‘Walaupun poligami dibenarkan, tetapi dikenakan syarat yang ketat, sesiapa yang ingin berpoligami perlu halusi situasi diri dan keluarga sebelum melaksanakannya.

‘‘Sebagai contoh Rasulullah hanya ada seorang isteri iaitu Siti Khadijah hinggalah Siti Khadijah meninggal dunia. Siti Khadijah dan anak-anak dapat perhatian sepenuhnya daripada Rasullulah.

‘‘Di akhir 13 tahun hayat Rasullulah, baginda mengahwini balu rakan-rakannya yang meninggalkan banyak anak. Dan menurut surah an Nisaa’ (ayat 3), menyediakan atau memberi ayah atau father figure kepada anak yatim adalah satu-satu sebab yang khusus dalam al-Quran mengapa Islam benarkan poligami

‘‘Contoh yang ditunjukkan Rasullulah memberitahu kita bahawa seorang lelaki dan suami mesti memberikan sepenuh perhatian dan kesetiaan terhadap perkahwinan mereka dan kepada isteri dan anakanak, supaya dapat membina keluarga bahagia. Jika lelaki guna alasan ikut sunah Nabi, kenapa contoh ini tidak diikuti?

‘‘Dalam Islam, jelas dinyatakan syarat poligami dibenarkan berdasarkan kepada surah al-Nisa’ ayat 3: Dan jika kamu tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (apabila kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja, atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. Dan lagi, Firman Allah s.w.t.: Kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil terhadap isteri-isteri kamu, sekalipun kamu berusaha untuk berlaku adil. (an-Nisa: 129)

‘‘Berdasarkan firman ini jika lelaki merasakan tidak boleh berlaku adil, dan sememangnya Allah telah berfirman lelaki tidak akan berlaku adil, maka diharuskan berkahwin satu sahaja kerana ketidakadilan di dalam rumah tangga adalah berdosa di sisi Allah.

‘‘Jadi, jika suami tidak dapat memastikan mereka berlaku adil terhadap isteri dan bakal isteri adalah lebih baik mengekang hawa nafsu dan menjauhkan diri dari poligami. Suami sepatutnya memberikan penuh perhatian kepada satu keluarga dan satu isteri. Psikologi dan kebajikan anakanak adalah lebih utama.

‘‘Melalui pembacaan saya, ada beberapa perkara asas kalau mahu poligami. Pertama, poligami bukan penyebab kepahitan atau kesengsaraan kepada yang terbabit; jika lelaki ingin berpoligami itu ada anak, maka poligami itu hampir pasti akan berlaku satu penderaan; poligami kerana ingin mengahwini perempuan yang lebih muda atau hawa nafsu adalah melanggar ketentuan Allah.

‘‘Satu lagi saya perhatikan, masyarakat kita punya sikap “perkahwinan adalah penyelesaian segala masalah”. Perempuan belum berkahwin pula rela menjadi isteri nombor dua tanpa memikirkan akibatnya, semata-mata kerana ingin ada suami tempat bergantung? Mereka juga terlalu naif tentang kehidupan berumah tangga sambil mengharapkan suami akan berlaku adil.

‘‘Hanya kerana kebenaran isteri pertama, bukan tiket untuk bahagia pada masa hadapan. Bagi saya, orang belum berkahwin mempunyai satu masalah tapi orang berkahwin mempunyai banyak lagi set masalah. Sebab itu kita banyak mendengar kisah yang tidak elok bagi yang berpoligami – suami tidak adil, buat hal itu dan ini.

‘‘Orang lelaki, sebelum berkahwin janjinya setinggi gunung, tetapi bila sudah dapat apa yang dihajati, segala janji dilupakan. Mereka hanya mahukan apa yang mudah untuk mereka. Segala ketidakadilan mereka pun jarang mendapat pembalasan dari Allah di dunia, semuanya akan dibalas di akhirat. Jadi suami tidak perlu takut jika tidak berlaku adil?

‘‘Pada saya pandangan mereka yang mendakwa isteri pertama kedekut kerana tak izin suami berpoligami adalah pandangan cetek dan berkepentingan. Saya percaya, apa yang isteri takutkan bukan pasal berkongsi suami, tetapi memikirkan nasib dan masa depan anak-anak yang terpaksa berkongsi kasih.

‘‘Semasa di Malaysia dulu saya tanya kepada rakan sepejabat bilakah dia nak kahwin dengan kekasihnya yang sudah empat tahun bercinta. Katanya, dia ingin “test the water” dan dia ada kekasih kerana ego dicabar oleh rakan-rakan. Katanya, nak kahwin tak mampu dan kedua dia tak sanggup berpisah dengan anak-anaknya. Si wanita itu tahu. Tetapi dia teruskan hubungan kerana cinta. Siapa yang bodoh dan rugi dalam hal ini?

‘‘Ada yang salahkan isteri pertama biarkan suami berzina. Kenapa tidak salahkan suami yang berzina? Tak izin suami kahwin tak bermaksud suami ada lesen buat dosa? Mana tanggungjawab suami terhadap agama dan keluarga? Berzina tetap jadi dosa orang berzina. Isteri tak pikul dosa suami. Suami tidak seharusnya ada kekasih.

‘‘Pemahaman yang cetek mengenai ketaatan isteri terhadap suami dalam Islam juga penyebab kenapa poligami kita banyak masalah. Tidak ada ayat al-Quran atau hadis mengatakan isteri yang benarkan suami berkahwin lagi akan dapat payung emas di syurga. Ini peribahasa yang dicipta oleh masyarakat Melayu untuk lembutkan hati isteri. Sama seperti tidak ada dalam al-Quran dan hadis yang mengatakan syurga terletak di bawah tapak kaki suami. Syurga hanya milik Allah dan amal ibadah yang di lakukan untuk mendapat keredaan Allah.

‘‘Saya tidak kata isteri perlu derhaka kepada suami. Tetapi ketaataan yang membabi buta dan tidak mengikut pemahaman Islam sebenarnya penyebab kenapa ramai wanita atau isteri berasa ditindas dan suami melayan isteri secara sambil lewa.

‘‘Ketaatan isteri terhadap suami adalah penting, tetapi terlalu banyak silap tafsiran mengenai kuasa lelaki atau suami terhadap isteri dalam Islam kerana kebanyakannya dipengaruhi oleh budaya setempat, tidak tersebut dan diperkatakan dalam al-Quran.

‘‘Sebagai isteri dan orang Islam, kita perlu banyak membaca supaya tidak dianiayai kerana di dalam Islam semuanya lengkap. Sebab itu Rasullulah pernah mengatakan, “Tuntutlah ilmu sehingga sampai ke negara China.” Bukan secara literal kita perlu ke China tetapi bermaksud kita perlu dalami ilmu sedalam mungkin. Buat rujukan jika kita tidak berpuas hati atau tidak pasti dengan sesuatu perkara.

‘‘Saya bukan antipoligami, saya cuma anti- pemahaman atau hujah salah dan dipesongkan oleh mereka yang menggunakan ilmu pengetahuan yang cetek.

Ulama kita juga terlalu ambil mudah isu poligami. Kenapa tidak galakkan suami kukuhkan iman, kuatkan mental supaya menjadi suami yang baik?

‘‘Saya simpati dengan gadis yang belum kahwin, nasihat saya gunakan masa buatlah kerja kebajikan atau pelihara anak angkat, berkahwin bukan penyelesaian masalah anda,’’ demikian cerita Suhana panjang lebar mengikut kajiannya tentang poligami.

Maka kita semua pun perlu buat kajian, jangan main sembrono. Malangnya orang kita malas membaca kecuali mereka hanya suka benda-benda negatif yang menghancurkan tetapi benda yang betul mereka tidak suka nak dengar.

- MAIMUNAH

www.dcckmona.com
dcckmonaum@hotmail.com

Popularity: 15% [?]

Processing your request, Please wait....

19 Responses to “Poligami banyak menganiaya anak-anak”

  1. azizah says:

    Ya saya setuju dengan anda. kekdg dah kawin tp asyik sakit hati. X guna gak coz asyik dpt dosa. X ada llki dlm idup kita pn kita sebnarnya leh hidup.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0

  2. eala_00 says:

    Setuju jugaklah…tapi dalam kehidupan setiap orang mempunyai fikiran, pandangan yang berbeza.. tahap kemampuan berfikir yang berbeza beza bagi tiap individu… Kadang kadang kita rasa kita betul, tetapi orang lain pula merasakan dia betul… apa yang pasti nasib dan ketentuan seseorang itu telah detentukan…. tidak adil menghukum orang tidak bijak, tidak pandai…. kadang kadang rasa CINTA dan EGO membutakan mata dan hati manusia…hanya ALLAHA yang mampu melihat apa yang tersirat dan tersurat. Wallahuallam.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  3. paradise says:

    Sabar tu separuh iman, lg sparuh taat suami, solat, puasa, qada’ puasa, bayar fidyah, beri sedeqah (minta izin dulu klu duit suami) = complete iman…insyaAllah.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  4. azizah says:

    saya pernah bersekolah di sekolah yang diurus oleh para birawati atau dipanggil sisters pada zaman 60an. Saya dapati mereka ini begitu kontras dgn para ustaz kita di malaysia yang gemar menjatuhkan hukuman berdasarkan kulit. Salah satu punca keruntuhan akhlak masyarakat melayu islam adalah kegagalan para cerdik pandai agama dalam mendekati golongan bermasalah. Kita lebih suka menghukum tetapi para penyebar ajaran kristian begitu lembut cara mereka mendekati golongan bermasalah. Itu juga penyebab org yang dah terpesong rasa susah nk kembali ke pangkal jalan sebab terasa malu dgn hukuman dan hukum2 yg dijatuhkan oleh para ustaz. Apa pendapat anda?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0

  5. paradise says:

    Paradise sama spt kak zizah.Sekolah dlm greja(johanian).. Salahsatu cara saya skarng ialah mendekati golongan yg bermasaalah..dengan turun kebawah…S’bnarnya ia bukan berkaitan dgn agama..tp sikap tipikal bangsa melayu… biasalah klu ada ilmu tinggi atau pangkat tinggi atau kekayaan melimpah ruah, susah sangat nak jenguk kebawah walaupun pepatah melayu ada kata.. ” Ikut resmi padi.. Semakin berisi semakin tunduk menyembah bumi…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  6. limpu says:

    Suami-suami curang biasanya mereka kurang melaksanakan hidup secara islam yang sebenarnya.Perampuan yang mengambil kesempatan keatas suami orang mesti berfikir panjang. Kerana duit gaji suami dibantu oleh isteri dan hanya cukup-cukup makan belanja anak dan lain-lainnya. Apakah dunia akhir zaman, perampuan sanggup menggunakan suami orang sebagai melayan nafsu sahaja. Perampuan tu akan sanggup bayar suami dan tanggung suami dengan memberi kemewahan asal nafsu sex nya dilayan. Perampuan jenis ini akan menyediakan tiket pelancongan dan akan membawa si suami tadi melancong. Si suami tepaksa bepura-pura dan mula menipu isteri kononnya pelayarannya untuk urusan kerja. Apabila sang suami merasa seronok, mula lah menipu duit gaji, bonus, duit loan suami isteri untuk keluar pergi melancong. Adakah layak seorang pemimpin rumahtangga menjadi penipu. SUBAHANALLAH. Menakutkan. Menangis Isteri dan anak2 memikirkan nasib yang berlaku. Truma sentiasa bermain difikiran walaupun suami sudah berubah.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  7. BE says:

    tatau la anak2 poligami lain. Tp arini anak pompuan hb yg tinggal dgn dia terima anugerah cemerlang. M1 dan anak2 lain sumer turun KL utk meraikannya. Sy tumpang gumbira dan bersyukur.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  8. assalamualaikum, umie baru join dcck ni.itupn sebab jiwa rasa tertekan dan dapat masuk blog ini dgn tak sengaja.seronok dan rasa terubat juga jiwa ini apabila membaca pandangan dan komen dari anda sekalian mengenai topik2 yang dikemukakan. Apa yang dinyatakan oleh maimunah tu umie sokong 100 persen.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  9. jujur says:

    saya pn menyokong. sekarang x dpt tdo sb byk masalah. tension. membaca blh gak buat ubat.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  10. nine says:

    Salaam semua,
    Saya ketika ini dalam situasi yang agak runcing. Setelah 12 tahun berumahtangga, saya rasakan ada sesuatu yang kurang dalam hubungan dengan pasangan saya. Dalam suasana global yang mencabar dengan kenaikan harga minyak dan barangan secara umumnya majoriti melakukan kerja sambilan. Saya terima tawaran mengajar masters part time, SAYA IZINKAN ISTERI BUAT JUALAN LANGSUNG. hari berganti minggu bulan dan tahun, saya mula rasa jauh darinya, isteri pun kurang topik keluarga untuk diperkatakan. Asyik dgn ‘nak kejar sale’. Lumrah MLM (multi level marketing a.k.a meniaga larut malam) keluar ke kelas & sesi motivasi di waktu malam. Bila balik dah dekat tengah malam, letih dan tidur. Esoknya lepas hantar anak sekolah saya terus ke kampus sibuk dengan kelas, tutorial itu dan ini. Kalau dulu kami kerap bercakap di telefon, sms dan mms. Sekarang tidak lagi. Kekadang lupa hal anak di sekolah.

    Saya menyedari perubahannya dan isteri. Dia jadi lebih outspoken dalam memberi pandangan, berani mematikan perbualan dengan alasan ‘malas nak fikir’. Gurauan biasa saya dah tak ada sambutan lagi, kekadang boleh membuatnya begitu sensitif. Saya rasa ini adalah kesan pergaulannya dengan orang2 MLM teman2 seperjuangannya. Manakan tidak, kalau dihitung waktu dia bersama mereka adalah lebih panjang jika dibanding dengan saya dan anak anak. Bila diajukan isu ini, adakala kenyataannya seolah olah saya tiada lagi value dalam hidupnya. Seolah olah meyatakan kalau saya tak ada pun, dia boleh indepenant. Itu apa yang saya rasa. Itu interpretasi saya.

    Bukan mendabik dada, tapi banyak komen dan gurauan teman di pejabat mengatakan saya ni orang yang ada rupa, ada gaya, ada otak. Sekali petik boleh sangkut anak dara… Tapi selama 12 berkahwin tak pernah termakan dengan dorongan2 itu. tapi kebelakangan ini rasanya dah mula goyah. Ada tarikan di tempat kerja. Al maklum, seperti kuatnya idealogi MLM yang telah mempengaruhi isteri saya, dugaan di tempat kerja hebat juga. Sementara menunggu kelas petang, ada TEMAN bersembang, bila mata strain dengan kerja komputer, ada WAJAH yang menyejukkan. Balik lewat pun tak kisah.
    Anak2 di rumah bibik yang tengok2 kan.

    Kekadang anak2 yang telefon bertalu talu suruh balik, belikan itu dan ini, mengajak keluar ke sana ke sini. Ditanya kenapa tak call Mama, jawapan mereka; “mama suruh call ayah, mintak pada ayah, ajak ayah, mama busy”.

    Thread ini ditulis sebaik saya pulang dari solat tarawih. Bila melayari internet, study pasal poligami, saya kecut perut. Wang ringgit saya mampu, nak handle satu kelas pelajar dewasa saya confident, tapi cukup susah nak guide diri sendiri dan isteri, apatah lagi nak tambah seorang lagi.

    Ramadhan yang mulia ini saya harapkan doa saya agar kami kembali macam dulu dulu, termakbul.

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0

  11. mayang says:

    baguslah tu 9, kalau dua2 buat hal, mau terlingkup anak2 kapal. Bila seorang hanyut, yg seorang lg kena keje keras utk menyelamatkan keadaan, bukan ikut hanyut.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  12. miss hairan potter says:

    ceh bosan dengar alasan jantan macam ni. dah ko tu ketua kuarga bagi jela kata dua kat bini ko. dulu blh plak tahan pangai bini. bila ada org lain mula la cari fault bini. dulu2 masa becinta dgn bini ko pn dia ngadap ko 24 jam. klu nk org hadap ko 24jam then CKP la kat bini tu. ni takat dok komplen kat forum wat hape. be a MAN la bro!

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  13. hati berlian says:

    bravo. a good, unbiased opinion about polygamy…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  14. halia says:

    ko ni incik sembilan…bini ko join MLM nk top up expenses..kalu ko tu loaded sangat sure takyah dia join MLM.. bini kejar sales ko ckp ko terabai…yg ko abai anak2 nganga kat betina len tu apsai? tarak akai?

    time nk kawen len teringat lak diri tu loaded mampu..kalu mampu takdernya bini ko terhegeh2 carik wit lain..oh lupa lak.. org laki nih loaded pon tak guna kalu kedekut nk mampuih kat anak bini..ko nih specis tu ker cik semilan?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  15. editor says:

    mana nyer tak bias, tajuk pun dah bias.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  16. azeema says:

    saya setuju sangat dengan pendapat yang diberikan oleh azhan. kenapa jalan penyelesaian yang diambil para suami adalah berkahwin lain. Kenapa tidak dicari punca masalah dan sama-sama merungkainya.Dengan kahwin lagi satu mereka menambah masalah bukan menyelesaikannya. Dan yang akan menanggung derita adalah anak2.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  17. azeema says:

    nine, akak nasihatkan ko jangan bermain denga api, panaih sangat tu dek. Kecil2 boleh lah tapi sudah besar kalu, buruk padahnya. 1001 satu masalah yang bakal ditanggung nanti. Bawa berbincang dengan isteri dan luahkan apa yang terbuku, semoga mendapat petunjuk dari NYA.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

  18. nine says:

    mayang, hairan potter, halia, editor dan azeema. Apa pun pandangan, saranan dan teguran kalian saya ambil semua, akan saya teliti dan muhasabah diri. Selama ni saya pendam sorang, lama sangat. Dah tiba masa saya luahkan. Setelah baca feedback kalian, ada sedikit kesan dalam diri saya. Malu nak dedah masalah pada orang…tapi di sini lain. Saya rasa selamat, yang bagi comment pun rasa secure.

    Saya nak share sikit intipati tazkirah di surau tadi. Katanya punca perbualan/percakapan yang sia sia termasuk
    1.rupa paras- kita ingat kita charming dan good looking ada possibility penzahiran kata kata kita boleh menampakkan EGO. Orang dok tengok kita kita syok laaa
    2.harta benda- kereta kami ada 3 biji, moto besau satu. (rasanya lepas raya ni nak jual je sebiji kereta dgn moto tu skali) duit boleh bawak bini (pikat dia semula) gi vacation. Saya terfikir kalau saya ikut MLM punya tabung pelancongan, dia pulak naik ego. Apa pandangan ibu ibu
    3.Kita rasa kita amal ibadat lebih dari orang, boleh menjurus kita buat statement di bawah sedar. Ni saya tak nak komen. Saya memang confirm kurang dari orang lain. Bulan Ramadhan ni peluang nak pulun, mintak2 adalah sikit amalan yang berterusan lepas ramadhan nanti.

    Ada lagi….lupa pulak. makan moreh banyak sangat.

    Tapi, wife tak dengar tazkirah tadi, semalam dan mlm2 kelmarin. Ke kelas. So nak tanya kalau saya nak share benda2 mcm ni pada seorang yang sibuk, letih, tak fokus di rumah? Ada cadangan? kaum2 hawa sekalian sms ka, email ka, post it note ka, kad ucapan raya ka?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0

RSS feed for comments on this post.